Sunday, September 19, 2010

Sabar

"Wahai Tuhan yang boleh membolak balikkan hati manusia, hamba mohon agar Kau peliharalah Hati ini hanya padaMu. Teguhkanlah hati hamba sebagaimana Engkau telah meneguhkan hati Ibrahim, dan kurniakanlah hamba kesabaran Khidr,Yusuf, dan Maryam. Jadikanlah hamba seadil Daud dan Sulaiman. Yakinkanlah hamba sebagaimana Kau meyakinkan Nuh, Musa, Isa, dan Ahmad. Ajarkanlah hamba sebagaimana Kau mengajarkan Adam dan Yahya. Ilhamkanlah hamba sepertimana Kau mengilhamkan Luqman dan Yunus. Hamba mohon agar Kau mudahkanlah jihad ini, Tuhan. Wahai Tuhan yang menyimpan rahsia, sungguh hanya Engkau yang mengetahui segala yang terbaik untuk hambaMu ini. Kurniakanlah hamba kesabaran tertinggi, wahai Tuhan seluruh alam."

Thursday, September 2, 2010

Rindu

Tuhan,
Aku merindui dia
yang Kau titipkan lewat mimpiku

Dia yang menghembus damai
kasihMu dalam jiwaku

Dia yang menjadi rahsiaMu dan rahsiaku
belum aku temui lagi.
Temukanlah kami di jalanMu ini
wahai Pemilik Hati.

Thursday, August 26, 2010

Cahaya

"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur'an) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong."(Al-Hajj: 78)

 
Malam ini, aku melihat Cahaya di hujung "terowong". Sesuatu yang aku ragukan selama ini kian menampakkan hikmahNya. Tak aku nafikan Jalan ini bukanlah mudah untuk manusia yang cepat mengalah pada tuntutan duniawi. Aku hampir-hampir berputus asa dengan kesempitan waktu yang menguji ketahanan fizikal, mental, emosi, dan spiritualku ketika ini. Mustahil aku dapat berkongsi jatuh bangun hidup dua tahun ini dengan siapapun kecuali Tuhan Yang Maha Tahu. Dua tahun ini mengajar aku erti "hidup berkesedaran" yang sebenarnya. Mungkin jauh lebih bermakna daripada seluruh pengalaman hidup yang terkumpul 26 tahun sebelumnya. Jalan ini telah mengarahkan aku menuju Cinta Suci yang Abadi, yang tak mampu aku tukar ganti dengan semua kemewahan hidup yang pernah aku kecapi dulu. Cinta inilah yang telah menyelamatkan aku dari arus dunia yang mengganas. Terima kasih, Ar-Rahman Ar-Rahim.

Tuesday, August 24, 2010

Mati

"Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitunganmu." (As-Sajdah:5)

Satu hari di sisi Tuhan, bersamaan 1000 tahun di alam manusia. Satu kurun! Sedangkan usia manusia ini, rata-rata jarang yang sampai seabad. 

1 hari Tuhan = 1000 tahun manusia.
100 tahun manusia = 1/10 hari Tuhan.
309 tahun manusia = 0.309 hari Tuhan.
0.309 x 365 = 112.785/12 = 9.39875 = + 9 bulan.

Tuhan,
Andainya Kau hendak matikan aku,
matikanlah aku dalam fitrahMu.
KepadaMu sahaja ku mohon.

Sunday, August 8, 2010

Petanda

Dalam aku berkira-kira dengan keputusan yang hendak aku nyatakan kepada mereka kelak, Tuhan telah menegurku hari ini. Melalui gadis muda itu, aku memahami bahawa Tuhan sedang membicarakan persoalan emosi yang menggugatku akhir-akhir ini. Tadi, aku tergamam melihatkan matanya bergenang air. Aku tanyakan perihalnya. Terus sahaja dia tertunduk, dan membuka cerita. Aku dengarkan tanpa sepatah kata. Dari matanya, aku mengerti berat rasa yang ditanggungnya. Aku tak tahu apakah cara yang dapat mengurangkan ketegangannya melainkan sebuah dakapan erat. Ketika dia menyandarkan kepalanya di bahuku, aku sedar betapa Tuhan masih hidup di hati kami.

Dia baru 19 tahun, barangkali masih naif tentang makna cinta yang benar. Walaupun isu kami tidaklah sama, hakikatnya tetap persoalan hati yang rapuh. Aku pernah melalui apa yang dia sedang lalui. Tapi, dia belum menempuh apa yang sedang aku tempuhi. Di antara perbezaan isu kami ini, Tuhan telah menyuntik harapan di sanubari, meminta aku untuk terus bertahan; sekurang-kurangnya untuk satu lagi Ramadhan bersama-sama mereka. Aku percaya, setiap jiwa pasti merasakan mati. Hanya dengan "kematian", kita dapat menghargai hakikat kehidupan. Aku yakin, dia sedang menghampirinya.

Wednesday, August 4, 2010

Ramadhan

Ramadhan menjelang tiba. Inilah Ramadhan kedua aku bersama mereka. Tapi, dua tahun ini seolah-olah 12 atau 20 tahun rasanya. Adakala aku tak pasti adakah aku dapat menempuh Ramadhan yang mendatang bersama-sama mereka lagi. Aku telah sampai kepada makna pengembaraan ini terlebih awal daripada mereka. Tidaklah aku tahu, apakah lagi yang bakal merintang perjalanan ini. Namun, aku telah bertahan sejauh ini. Dapatkah aku bertahan lagi? 

Barangkali, masanya telah tiba untuk aku putuskan arah perjalanan ini.

Wednesday, July 7, 2010

Cinta

Tuhan,
hari ini telah hamba lewati dengan izinMu
syukur hamba atas Kasih SayangMu
yang melimpah ruah
terima kasih hamba untuk CahayaMu
yang terus menyala

Tuhan,
hamba mohon
agar Kau terus hidup di hati ini
hamba mohon
jangan Kau tinggalkan hamba lagi
hamba mohon dariMu, Tuhan
pimpinlah hamba
merentas belahan lautan ini.

Telah hamba tinggalkan masa kelam
demi seruanMu
Mudahkanlah pengembaraan ini, Tuhan
andai inilah takdir terbaik untuk hamba
Kau lapangkanlah jiwa ini
atas apapun keputusanMu,

Hamba mohon dariMu
untuk terus hidup dan menanti mati
hanya dalam dakapanMu, Tuhan.

Thursday, June 24, 2010

Hallelujah

Kehidupan memang aneh. Di kala aku mengharapkan usaha membuahkan hasil, Tuhan menahannya. Di kala aku pasrah terhadap segala ketetapanNya, Tuhan memberi kurnia dari arah tak disangka. Setitik kurnia ini seakan berjaya memadamkan segala resah derita yang membadai selama ini. Terima kasih Tuhan, untuk satu lagi hari yang Engkau kurniakan buat hambaMu ini.

"Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (At-Talaq:3)


Thursday, June 17, 2010

Burung

Petang tadi, aku ke taman lagi. Berlari keliling tasik, aku berhenti. Melihat ke langit putih, aku nampak sang burung terbang tinggi. Sendiri. Aku cuba membayangkan nikmat bersayap seperti burung itu. Betapalah burung dinilai dengan sayapnya. Tanpa sayap yang membelah langit, dapatkah burung terbang tinggi? Tidak.

Tuesday, June 1, 2010

2050

Setahun telah aku tempuhi dengan tabah hati. Setahun yang sukar ini sama sekali tak dapat menandingi kepayahan manusia-manusia yang kehidupan mereka terhimpit di tengah-tengah kecelaruan Gaza, Palestina.

Wahai umat Palestina, keadilan untuk kamu sedang kami usahakan dari sini. Bersabarlah, dengan kesabaran yang sempurna. Percayalah Allah pasti membela keadaanmu, dengan cara yang tak kamu jangka. Jangan kamu lemah, lesu, dan menyerah kalah pada kerakusan makhluk-makhluk yang jelek itu.

Aku mendoakan kesabaran untuk kamu semua. Bangunlah! Demi Tuhan Yang Maha Perkasa.

Tuesday, May 11, 2010

Kembara

Sukar untuk aku ungkapkan perasaan ini. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan rasa derita dan bahagia yang serentak ini. Derita kerana aku terperangkap dalam pergolakan dunia yang berdebu ini. Bahagia kerana aku sudah mengerti suatu hal yang tidak pernah aku ketahui sebelum ini. Di antara derita dan bahagia ini, aku mula memahami makna "ikhlas" dan "ihsan".

Ramai orang bercakap tentang 'keikhlasan' dan 'kecintaan kepada Tuhan'. Tapi, adakah mereka merasai apa yang sedang aku rasakan ini? Rasa sakit yang mencengkam dada, membuatkan aku bertanya kepada Tuhan: Kenapakah aku?

Tidak pernah aku menyangka jalanNya sebegini. Dalam ketakutan, aku meneruskan perjalanan yang panjang. Tidaklah aku pasti ke mana jalan ini membawaku, sedari langkah pertama dulu. Namun, aku telah berjalan sejauh ini. Dan, aku tidak pasti berapa jauhkah lagi untuk aku sampai ke destinasi suci. Aku mula sedar tujuan akhirnya bukanlah di mana-mana bahagian dunia ini.

Aku tahu, ini adalah sebuah pengembaraan yang panjang. Aku tidak pasti adakah aku mampu menerima teman sepanjang kembara ini. Adakah teman itu berhati emas? Aku hanya mampu berharap. Dan, kupanjatkan doa hanya kepada Tuhan; Pemilik segala jadi dan hati. Aku berharap hatimu juga sepertiku, teman.

Sunday, May 9, 2010

Mimpi

Ahad, 3 pagi- Aku terbangun lagi di awal pagi. Entah apa yang aku mimpikan, dia muncul lagi dalam mimpi tadi. Tidaklah aku kenal susuk dirinya. Namun, dia selalu muncul dengan wajah seribu tanda tanya. Ingin sekali aku menyapanya. Namun, kami terpisah oleh satu tabir yang halus. Dia membisu, aku juga. Hanya bertukar senyuman dari hati. Aku tidak tahu apakah mahunya. Siapakah dia?

Monday, April 26, 2010

Pilihanku

Dilema. Satu hal yang tak aku gemari. Tapi, aku tahu dilema pasti mengunjungi siapa pun. Aku sukakan pilihan, tapi dilema bukanlah suatu pilihan. Selagi aku berada dalam dilema, selagi itu aku takkan mampu memilih. Jadi, untuk memilih, aku mesti mengeluarkan diriku dari kancah dilema. 

Dilema menghalang aku untuk fokus. Sedangkan pilihan, membantu aku untuk fokus. Dilema hanya mengurung aku dalam penjara khayalan. Sedangkan pilihan, mengajak aku untuk bebas mencapai awan teratas.

Untuk menempuh masa hadapan, aku perlukan pilihan; bukan dilema. Jadi, wajarlah aku tinggalkan dilema itu di belakang; masa silam yang kelam. Hidup ini terlalu pendek untuk aku sia-siakan dengan dilema yang tak berkesudahan.

Aku perlu mengakhiri dilema tersebut dengan satu pilihan. Dan, aku telah pun memilih untuk tidak ke sana. Aku pilih untuk akur pada ikrar dan janji setiaku di sini.

Thursday, April 22, 2010

Istimewa

Malam ini; malam ketiga aku ke sana. Kami berempat menguruskan serba serbi yang masih tak terurus. Perempuan itu juga telah datang bersama-sama menolong sejak dua malam lepas. Dan kehadiran dua orang lelaki itu pada malam ini, aku anggap sebagai "penyeri" acara sahaja! 70 peratus kerja-kerja pembersihan telah pun dijalankan semalam. Malam ini, lebih banyak kerja-kerja menata rias. 


Mereka nampaknya suka dengan kerja tangan aku siang tadi. Aku pun suka. Perempuan itu bertanya apakah cara yang aku gunakan untuk menimbulkan kesan cat di dinding itu. Tempoh hari, dia menyatakan hasratnya hendak mengecap tapak tangan kami di dinding. Tapi, aku telah melarangnya. Dan, hari ini aku gantikan dengan sesuatu yang hampir mirip dengan hasratnya itu. Nampaknya dia suka. Aku lega. Aku suka bila mereka suka. Itu sahaja penghargaan yang mampu aku hadiahkan setakat ini.

Barangkali, tempat itu tidaklah sesempurna khayalan mereka. Namun, aku berharap tempat itu akan menjadi batu loncatan kami untuk mencapai kesempurnaan yang dicita-citakan. 

Tempat itu asalnya sangat buruk, busuk dan menyakitkan setiap mata memandang. Tidak ada istimewanya langsung! Tapi, setelah dicongak-congak, terpaksa juga aku "ambil" tempat itu. Itu sahajalah kawasan yang berkadaran dengan kemampuan kami semua. Di sana, mungkin tidaklah selesa seperti di rumah sendiri. Tidak ada peti ais, mesin basuh, apatah lagi televisyen! 

Namun, tempat itu punyai keistimewaannya tersendiri. Keistimewaannya bukanlah terletak pada apa yang dipandang mata. Jauh daripada semua itu, istimewanya tempat itu terpahat dalam hati semua orang yang telah mendirikannya bersama-sama. Tempat itu telah didirikan dengan curahan keringat, air mata, calar dan luka kami semua. Itulah istimewanya tempat itu.

Monday, April 19, 2010

Dia

Ahad, 18 April 2010- Aku terlewat bangun, pagi ini. Terkejut oleh deringan telefon rumah yang bising. Aku tak jawab, mak yang jawab. Mendengar suara emak menjawab telefon sahaja sudah mendorong aku bangun dari tilam serta merta! Aku tengok telefon bimbit. Oh! Ada enam panggilan terlepas, oleh sebab nadanya telah aku matikan sebelum tidur malam tadi.

Aku bersiap sepantasnya, dan bergegas lagi ke sana bersama Pak Saiful. Mereka telah menunggu, entah dari jam berapa. Aku kenal keempat-empatnya. Namun, aku lebih banyak bicara dengan dua orang sahaja. Aku tak pasti, apakah tawaku dengan Pak Saiful dari lif didengari mereka. Namun, apa yang pasti aku terhibur mendengar cerita bapak tentang lif yang rosak semalam. Patutlah aku dengar lelaki itu tercungap-cungap di hujung talian, semalam. Hahahaha!! Padan muka dia! Baru turun tangga, belum naik tangga lagi!

Akhir-akhir ini, aku agak bengang dengan sikap culasnya. Aku sangat terkilan dengan sikapnya terhadap keikhlasan aku bekerja selama ini. Dia seolah-olah menyandarkan semuanya ke bahuku, sedangkan dia tahu situasi kewanganku dan tekanan mental emosi yang terpaksa aku tempuhi saat ini. Aku tak pernah mempertikaikan urusan peribadinya selama ini. Tapi, kali ini aku merasakan dia sudah keterlaluan mempergunakan aku. Tidakkah dia memikirkan tentang penat lelah aku menguruskan isu-isu penempatan ini, ditambah pula saban minggu aku menguruskan tetamu-tetamu baru itu? Ada ketika, aku terpaksa menangguhkan urusan-urusan peribadi yang penting, semata-mata untuk mengutamakan kepentingan bersama ini. Dan, dia pula? Semakin lama, dia seolah-olah semakin "jauh". Jauh dari mata, dan jauh juga dari hati.

Aku berharap, dia menyedari kesilapannya yang terbesar bukanlah kerana dia berada jauh secara geografi. Tapi, kesilapannya yang terbesar selama ini ialah dia gagal menghargai ketulusan orang-orang yang ingin membantunya. Dia menangguk di air keruh. Jangan begitu, sayang. Kau tidak merugikan sesiapa pun, kecuali dirimu sendiri!

Friday, April 16, 2010

Aku penat

Adakala aku rasa letih dengan hidup ini. Kemuncaknya, aku seolah-olah merindui kematian. Tapi bila aku fikirkan lebih dalam, sebenarnya yang aku letihkan itu bukanlah kehidupan yang berwarna-warni ini. Sebaliknya, keletihan itu mungkin berpunca daripada perkara-perkara yang mencalar emosiku sepanjang aku menempuh jatuh bangun kehidupan ini.

Aku merindui suatu hari yang tenang damai. Dan, aku yakin kedamaian yang aku dambakan itu tak mungkin hadir dalam kehidupan dunia yang sementara ini. Kedamaian itu hanya akan ku raih pada masa hadapan. Suatu masa yang tak berpenghujung, barangkali.

Demi mencapai kedamaian yang berpanjangan itu, aku harus "menjual" seluruh kepentingan hidup masa kini. 

Aku harus "menjual" kepentingan hidup yang sementara ini, demi masa hadapan yang lebih baik.

Mungkin aku boleh penat. Tapi, aku tak boleh kalah dengan kepenatan hidup ini selagi Tuhan belum mengizinkan aku mengalah.

Bila aku penat, aku patut berehat. Itu sahaja.

Wednesday, April 14, 2010

Kenapa aku perlu menulis?

Aku perlu menulis supaya aku dapat berlatih menyusun idea-idea bernas aku dalam stuktur gaya yang ringkas, santai, dan bermakna. Ini objektif aku, untuk blog ini!

Kedua, aku perlu menulis semula demi memperkasa penggunaan Bahasa Melayu Tinggi dan Bahasa Melayu Komunikasi yang pernah aku pelajari dulu.

Ketiga, aku perlu menulis supaya aku dapat mengekspresi diriku melalui buah fikiran dan suara hati terdalam. Aku mahu membaca balik blog ini pada masa akan datang.

Yang terakhir, aku mahu blog ini menjadi bukti "kewujudan"ku atas muka bumi ini. Aku berharap, blog ini dapat menghubungkan aku dengan jiwa-jiwa yang jauh daripadaku.


Bagaimana aku hendak menulis?

Walaupun blog ini akan dianggap sebagai diariku, aku berazam untuk mengisi blog ini dengan entri-entri yang bersopan-santun nadanya. Aku tidak boleh sama sekali mencarut, mengumpat, atau menfitnah sesiapa atau mana-mana pihak walau apa pun sebabnya. Blog ini harus menjadi medium untuk aku menyalurkan rasa marah, benci, jengkel, janggal dan segala rasa yang kurang enak itu dalam nada yang berhemah dan jelas!


Apa yang aku hendak tulis?

Memandangkan aku akan kerap menulis dalam blog ini, perlu aku ingatkan diriku untuk mengisinya dengan entri-entri bermakna sahaja. Aku berazam untuk tidak mengisinya dengan lirik-lirik lagu, resepi-resepi, catatan blog orang lain atau hal-hal rumahtangga dan kaum kerabat. Aku anggap, hal yang terakhir ini adalah perkara peribadi yang tak wajar menjadi tatapan umum.

Aku hendak menulis entri-entri yang tulen dari benak dan perasaan aku. Ini sahaja azam aku untuk blog ini dan untuk diri aku, khususnya.


InshaAllah.

Aku perlu menulis

Dua hari lepas, aku pergi kedai buku MPH. Aku tertarik dengan sebuah buku bertajuk "Diari Mat Despatch" oleh Bakaruddin Bekri, PTS. 

Buku itu mengingatkan aku betapa dulu, aku pernah ada diari sendiri. Aku juga pernah ada rakan pena, dari dalam dan luar negara. Tapi, semua itu telah lama aku tinggalkan, disebabkan aku pernah beranggapan hobi itu takkan bawa aku ke mana-mana. Boleh jadi, aku tersilap. Sebenarnya, hobi itu wajar aku pertahankan atas sebab-sebab tertentu yang akan aku ceritakan kemudian.

Namun, sebab terutama tentulah kerana tak semua orang berbakat menulis. Aku terpaksa akur. Malangnya, aku telah menyia-nyiakan bakat aku selama ini. Aku hanya menyedarinya sewaktu aku menjawab soalan esei Bahasa Melayu "Peperiksaan Skim Perhidmatan Awam Gred 41", Sabtu lepas. Aku mengalami "halangan mental" yang tiba-tiba! Aku sakit hati sebab tak dapat menonjolkan "bakat semulajadi" aku dalam tempoh sejam itu. Sudah berhari-hari aku selesaikan peperiksaan itu. Aku masih rasa bersalah pada diri sendiri kerana aku telah mengabaikan satu kemahiran yang menjadi kebiasaan aku suatu waktu dulu. Aku kesal.

Kekesalan ini telah mendorong aku untuk menulis semula. Maka, aku memutuskan untuk mula menulis semula dalam blog yang baru ini (blog lama aku di friendster telah lama terkubur sejak aku matikan akaunnya dulu!)