Saturday, September 17, 2011

Lelah

Tiga tahun berlalu, Jalan inilah pilihanku. Suatu jalan yang melorongkan aku untuk berhijrah dari daerah jahil ke daerah sedar. Perjalanan yang bukanlah mudah, namun wajar kutempuhi demi panggilan kudus Ilahi. Liku-liku perjalanan menemukan aku dengan citradiri manusia, pelbagai watak ragamnya.

Adakala aku juga tidak mengharapkan jalan ini penuh onar mehnahnya. Tatkala aku berasa lelah dengan perjalanan hidup yang panjang, Tuhan menyuntik harapan untuk terus bertahan. Mengubat dukalara di dadaku dengan titipan kalam wahyuNya. Tidaklah aku ketahui takdir apakah yang menanti di hujung kembara jiwa ini.

Wahai Yang Maha Hidup dan Maha Menguruskan, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan
Perbaikilah semua urusanku dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku walaupun sekelip mata

Ya Allah, janganlah Kau serahkan aku kepada diriku kerana aku tak mampu menguruskannya
dan jangan Kau serahkan aku kepada orang lain kerana mereka akan menyia-nyiakanku..

Titipkanlah CahayaMu, wahai Raja segala Hati.

Sunday, January 16, 2011

Monolog


Lelaki itu telah pulang dari tanah rantau, sedang perempuan itu akan pulang ke kampung halamannya. Antara dua perkhabaran ini, aku masih di tengah-tengah hiruk pikuk kotaraya yang melemaskan ini. Aku sedang berjuang meneruskan kehidupan yang bertali arus, walaupun tanpa mereka seperti suatu waktu dulu.

Selalu, bila aku merindui masa lalu.. aku bermonolog dengan diri melalui surah As-Saff.

Aku tidak dapat mempercayakan sesiapa pun lagi untuk memahami pengembaraan suka duka ini, sekalipun membuka hati untuk berkongsi segala lara yang terpendam. Hanya lembaran kalam suci yang mungkin bisa mengerti rahsia hati.

Tuhan, dalam apa keadaan pun, hamba mohon agar Kau terus hidup di hati.