Saturday, May 26, 2012

Hanizah

11.3.2012
Chemor, Perak, Malaysia
11:35 p.m

Namaku Hanizah. Sudah hampir 30 tahun bernafas di muka bumi Tuhan. Sudah merasa jatuh dan bangunnya kehidupan. Sudah faham makna cinta dan pengorbanan. Sudah meratap kehilangan orang-orang tersayang. Sudah kenal siapa kawan, siapa pula lawan. Entah berapa lama lagi Tuhan mahu aku hidup. Seperkara yang pasti, aku merindui mati. Andainya mati bisa menemukan aku dengan Tuhan, menyatukan aku dengan Tuhanku, aku inginkan kematian serupa itu. Aku punya kisah. Tentang kau dan aku. Tentang kita. Tentang Tuhan. Tentang dunia akhirat, hidup dan mati, awal dan akhir. Semuanya di sini.



April 2012
Kuala Lumpur

Ayahku, Ramli. Telah 11 tahun ayah pulang ke pangkuan Ilahi. Usiaku baru 19 tahun waktu itu, sedang bergelut dengan alam kampus yang bermacam ragamnya. Pemergian ayah mengajarku satu perkara, untuk berjaya kita haruslah bergantung kepada diri sendiri. Berdikari, itulah jalannya. Ayah, semasa hayatnya terlalu tulus menghambakan diri untuk kerabat terdekat. Pernah ayah tirinya, Subari menawarkan pendidikan lanjutan ke sekolah Inggeris. Namun, ayah lebih senang memilih untuk bekerja selepas tamat darjah lima sekolah Melayu. Katanya, demi meringankan beban tanggungan Subari dan Surtinah, ibu kandungnya. Ayah tega melepaskan peluang terbaik yang didamba banyak anak muda kampung demi kelangsungan hidup adik-adik seibunya. Lapan orang semuanya.

Patimah, itulah nama ibuku. Sudah terbiasa aku memanggilnya Mak. Tahun ini, lanjutlah usianya 63 tahun. Seusia ayah ketika sakit geringnya datang. Tidak banyak kisah hidup emak yang dikongsi dengan anak-anak. Berbanding ayah yang peramah, emak ini lebih banyak diam. Penat barangkali. Emak ini seorang yang baik hatinya, walau selalu juga marah-marah. Kukira, suaranya yang marah bisa sahaja membuat orang pengsan kembali sedar. Persis halilintar yang memetir tenaga listrik. Aku kagum dengan tahap qanaahnya dia dalam menjalani kehidupan. Sering aku bertanya, sanggupkah aku bersuamikan lelaki lulus darjah lima, bekerja 30 tahun sebagai pemandu forklift, tinggal di rumah kecil setinggan bersama tiga orang anak yang sedang membesar. Malah, seorang daripadanya terlalu istimewa untuk dihantar ke sekolah biasa. Dia itulah kakakku, Noorzilla, seorang anak terencat akal dikenal autistik. Kini, kakakku sudah pun menjangkau 37 tahun. Namun, begitulah dia. Terus hidup dalam dunianya tersendiri. Seakan ada dinding invisible yang memisahkan dunianya dan dunia kita.

Aku dan kakak punya seorang abang. Dia hanyalah setahun lebih berusia daripada kakakku. Namanya Zaid. Sudah 38, tahun ini. Abangku seorang yang tekun di alam persekolahannya. Selalu dia meraih biasiswa melanjutkan pelajaran ke SBP dan universiti. Ketekunan abangku telah membawanya merantau ke bumi Jepun, untuk beberapa tahun lamanya. Walaupun sudut pandang aku dan abang ternyata berbeza, kami selalu bersedia untuk saling membantu pada waktu-waktu yang menghimpit. Seperti aku, dia juga punya kisah hitam putih yang tersendiri.

Inilah sebuah pengenalan ringkas keluargaku. Agar nanti kalian yang membaca tulisan-tulisanku dapat mengerti dari kelas mana datangnya aku ini. Sebuah kelas kehidupan yang mengenalkan aku makna dunia fatamorgana ini. Di dunia inilah kita saling bertukar kisah. Saling mengenal dan saling memaknakan wujud diriNya.

No comments:

Post a Comment