11.3.2012
Chemor, Perak, Malaysia
11:35 p.m
Namaku
 Hanizah. Sudah hampir 30 tahun bernafas di muka bumi Tuhan. Sudah 
merasa jatuh dan bangunnya kehidupan. Sudah faham makna cinta dan 
pengorbanan. Sudah meratap kehilangan orang-orang tersayang. Sudah kenal
 siapa kawan, siapa pula lawan. Entah berapa lama lagi Tuhan mahu aku 
hidup. Seperkara yang pasti, aku merindui mati. Andainya mati bisa 
menemukan aku dengan Tuhan, menyatukan aku dengan Tuhanku, aku inginkan 
kematian serupa itu. Aku punya kisah. Tentang kau dan aku. Tentang kita.
 Tentang Tuhan. Tentang dunia akhirat, hidup dan mati, awal dan akhir. 
Semuanya di sini.
April 2012
Kuala Lumpur
Ayahku, Ramli. Telah 11 
tahun ayah pulang ke pangkuan Ilahi. Usiaku baru 19 tahun waktu itu, 
sedang bergelut dengan alam kampus yang bermacam ragamnya. Pemergian 
ayah mengajarku satu perkara, untuk berjaya kita haruslah bergantung 
kepada diri sendiri. Berdikari, itulah jalannya. Ayah, semasa hayatnya 
terlalu tulus menghambakan diri untuk kerabat terdekat. Pernah ayah 
tirinya, Subari menawarkan pendidikan lanjutan ke sekolah Inggeris. 
Namun, ayah lebih senang memilih untuk bekerja selepas tamat darjah lima
 sekolah Melayu. Katanya, demi meringankan beban tanggungan Subari dan 
Surtinah, ibu kandungnya. Ayah tega melepaskan peluang terbaik yang 
didamba banyak anak muda kampung demi kelangsungan hidup adik-adik 
seibunya. Lapan orang semuanya.
Patimah, itulah nama 
ibuku. Sudah terbiasa aku memanggilnya Mak. Tahun ini, lanjutlah usianya
 63 tahun. Seusia ayah ketika sakit geringnya datang. Tidak banyak kisah
 hidup emak yang dikongsi dengan anak-anak. Berbanding ayah yang 
peramah, emak ini lebih banyak diam. Penat barangkali. Emak ini seorang 
yang baik hatinya, walau selalu juga marah-marah. Kukira, suaranya yang 
marah bisa sahaja membuat orang pengsan kembali sedar. Persis halilintar
 yang memetir tenaga listrik. Aku kagum dengan tahap qanaahnya dia dalam
 menjalani kehidupan. Sering aku bertanya, sanggupkah aku bersuamikan 
lelaki lulus darjah lima, bekerja 30 tahun sebagai pemandu forklift,
 tinggal di rumah kecil setinggan bersama tiga orang anak yang sedang 
membesar. Malah, seorang daripadanya terlalu istimewa untuk dihantar ke 
sekolah biasa. Dia itulah kakakku, Noorzilla, seorang anak terencat akal
 dikenal autistik. Kini, kakakku sudah pun menjangkau 37 tahun. Namun, 
begitulah dia. Terus hidup dalam dunianya tersendiri. Seakan ada dinding
 invisible yang memisahkan dunianya dan dunia kita.
Aku
 dan kakak punya seorang abang. Dia hanyalah setahun lebih berusia 
daripada kakakku. Namanya Zaid. Sudah 38, tahun ini. Abangku seorang 
yang tekun di alam persekolahannya. Selalu dia meraih biasiswa 
melanjutkan pelajaran ke SBP dan universiti. Ketekunan abangku telah 
membawanya merantau ke bumi Jepun, untuk beberapa tahun lamanya. 
Walaupun sudut pandang aku dan abang ternyata berbeza, kami selalu 
bersedia untuk saling membantu pada waktu-waktu yang menghimpit. Seperti
 aku, dia juga punya kisah hitam putih yang tersendiri.
Inilah
 sebuah pengenalan ringkas keluargaku. Agar nanti kalian yang membaca 
tulisan-tulisanku dapat mengerti dari kelas mana datangnya aku ini. 
Sebuah kelas kehidupan yang mengenalkan aku makna dunia fatamorgana ini.
 Di dunia inilah kita saling bertukar kisah. Saling mengenal dan saling 
memaknakan wujud diriNya.